Tugas kita adalah untuk berjuang, tanpa mengharapkan apajua balasan
A. Ramayah 1953-2008
Saya dikejutkan daripada tidur jam 5 pagi hari ini oleh panggilan telefon. Panggilan tersebut bukan sesuatu yang saya tidak sangkakan. Thayalan, anak Ramayah memberitahu bahawa ayahnya meninggal dunia baru tadi. Ramayah adalah seorang pejuang dan pemimpin pekerja yang telah lama saya kenali.
Ramayah telah bekerja dikilang Kelapa Sawit, Ladang Brooklands, Banting. Pada akhir tahun 1995, beliau bersama dengan 60 pekerja lain, telah mendapat notis pemberhentian kerja dan arahan mengosongkan rumah kuarters daripada tuanpunya ladang Akurjaya Plantation,sebuah anak syarikat korporat besar Lion Group. Tidak berpuashati dengan cara penyelesaian wakil Kesatuan mereka, National Union of Plantation Workers(NUPW), Ramayah bersama rakan sekerjanya telah cuba menghubungi sesiapa yang boleh membantu mereka. NUPW enggan mengutarakan hasrat pekerja untuk menuntut perumahan sendiri pekerja. Sebaliknya mereka telah bersekongkol dengan majikan dan bersetuju bahawa pekerja akan mengosongkan rumah mereka pada akhir bulan Disember 1995, tanpa tawaran perumahan sendiri.
Batumalai, seorang rakan sekerja Ramayah telah menunjukkan majalah “Pattali” keluaran Pusat Pembangunan Masyarakat (CDC) kepadanya. Tanpa membuang masa Ramayah telah menelefon kami di pejabat CDC menjemput komrad-komrad dari CDC mengadakan perbincangan dengan pekerja terbabit.Sejak ketika itulah terjalin hubungan saya dengan komrad Ramayah yang telah berlangsung selama 13 tahun.
Keberanian dan semangat Ramayah amat saya hormati. Apabila Ramayah dan 3 keluarga pekerja Kilang kelapa Sawit enggan mengosongkan rumah mereka, kerana menuntut hak perumahan, pihak pengurusan Ladang telah memotong bekalan elektrik dan air ke kuarters mereka. Ramayah besikap teguh dan membuat keputusan untuk terus tinggal dirumah itu tanpa air dan elektrik. Semangat berjuang beliau dicontohi dan seterusnya merebak keseluruh ladang Brooklands.
Tindakan Ramayah dan tiga keluarga pekerja kilang kelapa sawit menentang korporat besar Lion Group ini telah membarakan semangat berjuang menuntut perumahan, dikalangan lebih 80 keluarga pekerja di Division Utama Ladang Brooklands. Beberapa demonstrasi diadakan menentang tindakan mahkamah Lion Group yang ingin mengusir mereka. Setelah tiga tahun menjalani kehidupan tanpa air dan elektrik, akhirnya korporat Lion Group dikalahkan. Lion Group terpaksa menarik balik kes mahkamah mereka serta menyediakan kuarters dengan kemudahan air dan elektrik untuk Ramayah dan 3 orang pekerja yang lain.
Walaupun Ramayah tidak ada pengalaman dalam apajua pertubuhan ataupun Kesatuan pekerja, sikap berani dan ucapan lantang beliau dihormati oleh para pekerja Ladang Brooklands. Tanpa mengira mesyuarat samada dengan Exco Kerajaan Negeri ataupun dengan Pengarah Lion Group, beliau dengan tegas akan menyuarakan tuntutan pekerja. Beliau juga pernah menghalau wakil union dari mesyuarat bersama Exco Kerajaan Negeri Selangor, kerana kegagalan union membantu pekerja pada tahun 1995 dulu.
Setiap kali, suatu mesyuarat perlu diaturkan di ladang, saya memberitahu Ramayah untuk memaklumkan kepada semua pekerja. Tidak pernah sekalipun beliau merungut kerana tugas tersebut. Ramayah akan memandu motosikal lapuknya ke setiap hujung ladang, memberitahu setiap pekerja mengenai mesyuarat.
Selepas, saya tiba diladang, beliau sekali lagi akan membuat rondaanya memastikan semua pekerja sampai di kuil, tempat mesyuarat kami. Saya masih ingat kali pertama saya ditahan polis semasa mengadakan mesyuarat diladang Brooklands pada tahun 1996. Pada hari keesokkan, apabila saya, Arul dan Ganesan dibawa ke mahkamah, Ramayah dan rakan seperjuangnya berjaya memobilisasi kesemua pekerja ladang membanjiri bangunan Mahkamah di Telok Datok, Banting demi memberi sokongan kepada kami. Kesemua pekerja telah mogok kerja pada hari itu membantah tindakan pengurusan membuat laporan polis terhadap kami.
Selama 13 tahun, pelbagai perjuangan telah dilalui oleh pekerja Ladang Brooklands, dan komrad Ramayah telah memainkan peranan yang sungguh penting sebagai ‘ketua’ jawatankuasa bertindak perumahan pekerja Ladang Brooklands. Akhirnya pada 15hb.Januari, 2008, pekerja Ladang Brooklands menandatangani perjanjian jual beli untuk rumah teres satu tingkat kos rendah yang mereka telah tuntut selama 13 tahun ini.
Komrad Ramayah hanya dapat menandatangani perjanjian tersebut dari katil Hospital Besar Klang kerana beliau sakit tenat. Doktor memberitahu saya bahawa buah pinggang nya telah rosak dan Ramayah perlu menjalani dialysis.
Tiba-tiba pada 20hb,Januari, 2008. keadaanya bertambah teruk dan Ramayah tidak dapat bercakap lagi. Saya amat sedih, kerana risau Ramayah, pejuang Ladang Brooklands, tidak akan dapat menikmati rumah barunya apabila ianya dibina kelak dalam masa 2 tahun. Saya,menyoal diri, kenapakah Ramayah yang selama 13 tahun ini melakukan begitu banyak pengorbanan ditimpa penyakit sedemikan. Tidakkah wajar Ramayah menikmati hasil perjuangannya?
Soalan yang sama ditanya oleh anak perempuannya apabila saya menghadiri upacara pengkebumian Ramayah pada petang ini. “Setelah bertungkus lumus selama 13 tahun, kenapa ayah tidak dapat melihat rumah pekerja yang akan dibina nanti”.
Pada masa itu saya sedar, dan saya pasti Ramayah juga faham, bahawa setiap orang manusia mempunyai tugas masing-masing dalam perjuangan kelas ini. Ramayah berjuang bukan untuk dirinya, tetapi untuk kelas pekerja, menentang pengeksploitasian golongan kapitalis memerah tenaga pekerja dan mengusir mereka apabila tidak diperlukan lagi.
Ramayah dan 51 keluarga pekerja Ladang Brooklands berjaya menjatuhkan korporat kapitalis besar Lion Group. Akhirnya, Lion Group sedar sumbangan pekerja dan menawarkan rumah kos rendah kepada mereka.
Ramayah pasti sedar dalam hatinya bahawa tugasnya telah selesai. Ramayah telah berjaya membawa perjuangan pekerja Ladang Brooklands sehingga ianya berjaya. Tugas kita adalah untuk berjuang, tanpa mengharapkan apajua balasan, walaupun hasil perjuangan tersebut tidak dapat dinikmati oleh kita, tetapi apa yang lebih penting ialah benih perjuangan tersebut telahpun kita tanamkan.
Ramayah tidak dikebumikan hari ini, tetapi dibenihkan! Semangat perjuangannya akan berterusan. Selamat tinggal komrad Ramayah!
Hidup perjuangan rakyat!
Tulisan oleh A. Sivarajan
Parti Sosialis Malaysia
21hb Januari, 2008, 5.20 pm