Semangat Pramoedya Sentiasa Hidup!
Semua karya Pramoedya adalah tentang kisah sebelum kemerdekaan Indonesia, dan beliau tidak menulis sejarah selepas 1945 kerana zaman tersebut belum selesai – Revolusi Nasional Indonesia belum selesai. Begitulah tanggapan salah seorang panel yang berucap dalam satu forum bertajuk “Pramoedya: Sejarah, Novel dan Politik Pembebasan” yang diadakan pada 24 November lalu.
Forum yang dianjurkan oleh Parti Sosialis Malaysia (PSM) ini telah menjemput dua orang yang pakar dalam mengkaji karya Pramoedya, iaitu Max Lane dan Sumit Mandal, untuk berkongsi pengetahuan mereka tentang Pramoedya, seorang tokoh sasterawan yang amat terkemuka di rantau Asia Tenggara.
Max Lane yang berasal dari Australia berkenalan dengan Pramoedya sejak awal tahun 1980an dan tertarik dengan pemikiran Pramoedya sehingga menjadi penterjemah karya Pramoedya ke dalam bahasa Inggeris. Menurut Max Lane, kita perlu mengenali dan menghayati Pramoedya, bukan sahaja peribadinya yang sentiasa mempertahankan haknya, tetapi juga karyanya yang kaya dengan pemikiran yang progresif tentang pembebasan dan pembentukan bangsa.
Max Lane berkata, mengikut Pramoedya, kebangkitan bangsa di kepulauan Nusantara telah mencipta sesuatu yang baru, iaitu Indonesia. Indonesia bukannya lanjutan daripada sesuatu yang sebelumnya, tetapi penggulingan kekuasaan sistem penjajah begitu juga dengan unsur-unsur zaman lampau. Bangsa yang lahir daripada revolusi nasional adalah bangsa yang baru. Namun revolusi nasional dan pembinaan bangsa di Indonesia masih belum selesai, kerana terputus apabila Suharto berkuasa. Reformasi yang berlaku kemudiannya masih tidak cukup untuk menyempurnakan proses ini. Hanya rakyat biasa dapat menyempurnakan proses ini dari bawah.
Pada pandangan Pramoedya, revolusi nasional di negara seperti Indonesia perlu menyempurnakan tiga tugas revolusi – 1) revolusi borjuis seperti yang dilambangkan oleh Deklarasi Kemerdekaan Amerika Syarikat, 2) revolusi sosialis seperti yang terkandung dalam Manifesto Komunis, dan 3) perjuangan anti-penjajah seperti yang terkandung dalam “San Min Zhu Yi” ciptaan Sun Yat-Sen. Kalau tidak berlaku revolusi, iaitu penggulingan kekuasaan pemerintah, adalah sukar untuk membayangkan sesuatu negara bangsa itu sudah merdeka.
Max juga menyebut tentang pengaruh karya-karya Pramoedya, ramai pelajar menjadi aktivis selepas membaca tulisan Pramoedya semasa zaman pemerintahan Suharto. Bercakap tentang sastera nasional pula, Max mengatakan bahawa kalau sesuatu karya sastera tidak dapat dinikmati dan dihayati oleh semua elemen dalam satu bangsa (nation), maka tidak akan wujudnya sastera nasional.
Max juga mengatakan bahawa Pramoedya tidak pernah mengaku menyertai mana-mana parti politik kecuali Partai Rakyat Demokratik (PRD) pada tahun 1990an yang terdiri daripada anak-anak muda. Pramoedya memang sakit hati melihat zaman pasca-Suharto, kerana wujudnya konsumerisme, elitism dan politik wang yang berluasa. Pramoedya menaruh harapannya ke atas golongan muda dalam membangunkan pergerakan untuk menyelesaikan revolusi. Apabila salah seorang pemimpin PRD meninggalkan pergerakan dan melanjutkan pelajaran ke luar negeri, Pramoedya sangat marah dan menanya mengapa pergi ke Universiti luar negeri, kerana sekolah yang paling baik adalah organisasi!
Sumit pula berucap tentang pemikiran anti-perkauman Pramoedya. Bagi Pramoedya, bangsa itu bermakna sama taraf manusia. Pramoedya melawan sentiment dan pergerakan anti-Cina bukan sekadar membela nasib kaum Tionghua tetapi menentang perkauman dari asasnya.
Kisah-kisah dan karya-karya Pramoedya memang membuka minda semua orang, dan perlu dihayati dengan sedalam-dalamnya. Semangat Pramoedya akan sentiasa hidup dalam tulisannya dan terus menjadi inspirasi untuk golongan muda melangkah ke hadapan.
oleh.
Choo Chon Kai