29
Dec
09

183 penduduk RPT Meru Tin lega, sedia berpindah

Sinar Harian

JELAPANG – Berkat usaha yang tidak mengenal jemu serta perpaduan yang erat antara penduduk Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) Meru Tin telah membuahkan hasil dan telah menemui jalan penyelesaian.

Seramai 183 keluarga dari penduduk berkenaan yang dahulunya menerima notis pengusiran kini berasa lega kerana mereka telah terpilih untuk mendapatkan lot tanah di RPT Meru Tin secara sah.

Satu penghimpunan yang melibatkan semua penduduk RPT Meru Tin diadakan semalam oleh AJK Meru Tin sebagai memberitahu keputusan mesyuarat yang dipengerusikan Exco Kerajaan Negeri, Datuk Hamidah Osman bersama Datuk Dr Mah Hang Soon, Ketua Penolong Pegawai Daerah, Ishak Napis dan AJK RPT Menu Tin pada 16 Disember lalu.

Dalam mesyuarat tersebut antaranya memutuskan harga yang seharusnya dibayar bagi setiap lot iaitu RM12,300 merangkumi penyediaan tapak dan kerja-kerja ukur, penyediaan aliran air, pembinaan jalan, sistem reikulasi, bekalan elektrik dan Notis 5A (hak milik Tanah) menurut surat Pentadbir Tanah Kinta, Datuk Razali Othman.

Pengerusi Meru Tin, Heam Miaw Sem berkata, kesemua peserta yang terpilih dalam skim PRT Meru Tin akan mengosongkan kediaman mereka selepas perjanjian antara Pejabat Tanah dan Kontraktor termeterai di hadapan wakil kerajaan dan jawatan kuasa.

Bagaimanapun, tarikh akhir bagi semua peserta untuk mengosongkan kediaman ialah pada 15 Mac 2010.

“Kami menunggu surat perjanjian dari kedua pihak tersebut dan juga surat perjanjian Pejabat Tanah kepada semua peserta yang terpilih kerana dengan adanya surat hitam putih barulah kami boleh berpindah dan memulakan pembayaran ansuran kepada peguam pemaju yang dipilih,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Mengenai tanah alternatif bagi penempatan semula bagi dua kuil Hindu, sebuah kuil Cina dan padang, dewan orang ramai serta tapak Rukun Tetangga yang telah mendapat persetujuan turut melegakan penduduk sekitar.

“Saya mewakili penduduk RPT Meru Tin berterima kasih kerana keputusan yang dibuat pada mesyuarat lepas yang banyak memihak kepada kebajikan penduduk Meru Tin.

“Saya berharap kepada pihak Kerajaan Negeri agar mempercepatkan lagi proses hak milik tanah RPT Meru Tin kerana kami sudah lama menghadapi masalah ini yang sentiasa menemui jalan buntu,” katanya.

Menurutnya, seperti mana konsep 1Malaysia yang menitikberatkan kepada rakyat dapat direalisasikan bukan lagi sekadar laungan semata-mata.

“Kami sudah memperjuangkan selama 12 tahun untuk menyelesaikan masalah RPT Meru Tin ini. Kami juga meminta Kerajaan Negeri membantu kami dalam pembayaran premium sebanyak RM2,300 dari jumlah sebenar RM12,300 kepada peserta-peserta RPT.

Ini dapat mengurangkan beban kami kerana taraf kehidupan penduduk di sini kebanyakannya berpendapatan rendah. Semoga impian kami menjadi kenyataan dan boleh kami memulakan hidup baru,” katanya.

Sementara itu, Ahli Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM), Segar @ Kunasekaran berkata, penduduk Meru Tin menyambut baik keputusan yang dibuat dan bersetuju mengosongkan kediaman dan berpindah ke tempat kediaman sementara.

“Namun begitu penduduk berharap semua surat perjanjian dan surat dari Pejabat tanah perlulah diterima dahulu.

“Penduduk bersetuju membayar kos pembangunan yang telah ditetapkan dan berharap apa yang dijanjikan oleh pihak Kerajaan Negeri dapat ditunaikan segera untuk mereka memiliki tanah sendiri,” katanya.

Segar turut menyentuh dari segi kemudahan pengangkutan awam seperti perkhidmatan bas di kawasan Meru Tin.

Katanya, masalah besar yang dihadapi ialah penduduk sukar untuk keluar dari kawasan penempatan memandangkan tiada pengangkutan disediakan.

“Penduduk di sini kebanyakannya dari golongan sederhana yang tidak mampu memiliki kenderaan sendiri, justeru pihak Kerajaan Negeri perlu memikirkan masalah ini demi memudahkan urusan penduduk terutamanya warga emas,” katanya.

Selain itu Segar berkata, setakat ini sudah empat kali pihaknya menulis surat kepada Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir merayu untuk memberikan sedikit bantuan dari segi pembayaran harga tanah lot kepada peserta RPT namun tiada sebarang jawapan diterima.


    Follow PSM on Twitter

     

    March 2010
    M T W T F S S
    « Feb    
    1234567
    891011121314
    15161718192021
    22232425262728
    293031