Selasa 25/11/09 5.24 petang
Terima kasih Dato Pengerusi, memberi saya peluang berbahas terhadap Anggaran Belanjawan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna. Saya hanya ingin mengemukakan satu masalah sahja. Di bawah Butiran 030200 – hal Ehwal Pengguna.
Apabila syarikat insurans mahu jual kad kesihatan, dia cakap manis. Tetapi bila sampai masa menuntut bayaran, syarikat insurans cari pelbagai alasan untuk menafikannya. Saya mahu membawa suatu kes, Pn Kamala ** di Sg Siput yang membeli kad insurans dalam tahun 2008. Selepas beberapa bulan beliau jatuh di pasar dan cederakan lutut beliau. Bil rawatan kecederaan ini mencecah RM 5000 di sebuah Hospital Swasta. Tetapi apabila Pn Kamala menuntut bayaran, pihak insurans menyiasat sejarah kesihatan beliau dan mendapat cari fakta bahawa pada tahun 1997, ia-itu 12 tahun dahulu, Pn Kamala pernah mengalami pembedahan rahim. Tetapi fakta ini tidak tercatit dalam borang permohonan insurans beliau.
Pihak insurans kata you sudah cuba menipu kami, dan oleh itu kami tidak boleh bayar. Walaupun pembedahan rahim langsung tidak ada kaitan dengan kecederaan lututnya, mereka tidak mahu bayar.
Apabila saya bertanya Pn Kamala, dia jawab dia tidak tahu menulis, dan ejen yang melengkapkan borang permohonannya. Ikut katanya, Pn Kamala telah memberitahu ejen, dan ejen telah berkata pemebedahan rahim berlaku banyak tahun dahulu dan tidak perlu ditulis di dalam borang.
Saya telah cuba membantu beliau dengan membawa masalah beliau ke Biro Pengantaraan Kewangan di bawah Bank Negara dengan nombor rujukan L11697. Kami telah rujuk kes ini pada Mei 2009, tetapi sampai sekarang, masih belum dapat penyelesaian. Baru, pagi ini, saya telah menelepon Biro Pengantaraan, tetapi diberitahu bahawa mereka ada lebih daripada 1000 kes yang mereka nasih belum selesai. Pada masa yang sama hospital swasta yang berkenaan telah mengeluarkan surat notis – Notice of Demand dan mahu menghadap Pn Kamala ke Mahkamah.
Sebenarnya, dengan izin, justice delayed is justice denied. Jadi saya mengesyorkan bahawa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri menubuhkan satu jawatankuasa untuk kaji isu kad kesihatan dan memastikan prestasi mereka. Adakah kita perlu mengetatkan regulasi terhadap kad-kad ini supaya rakyat kita tidak ditipu macam ini.
Terima kasih
Jeyakumar Devaraj
MP Sungai Siput (PSM)